Majlis Pelancaran Memulakan Bacaan Ayat-Ayat Suci Al-Quran bagi Majlis Khatam Al-Quran 80 Kali Khatam Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, Penuntut-Penuntut Sekolah dan Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Seluruh Negara Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80 Bagi Tahun 2026 telah diadakan secara serentak pada hari Khamis, 13 haribulan Syawal 1447 Hijrah bersamaan 02 haribulan April 2026 Masihi di keempat-empat buah daerah.
Majlis Khatam Al-Quran 80 Kali Khatam ini diadakan adalah sebagai menzahirkan kesyukuran rakyat dan penduduk Negara ini kepada Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah rahmat dan nikmatNya jua menjadikan Negara Brunei Darussalam di bawah kepimpinan yang bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa berada dalam keadaan aman dan sejahtera, di samping memohon doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dilanjutkan usia, sihat wal’afiat serta mendapat Taufiq dan hidayah serta inayah daripada Allah Subhanahu Wata’ala.
Di Daerah Brunei dan Muara, majlis telah diadakan di Jame’ 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, Bandar Seri Begawan dan hadir selaku Tetamu-Tetamu Kehormat bersama ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah bin Haji Mohd Salleh, Menteri Pendidikan dan Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama.
Di Daerah Belait majlis telah diadakan di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait dan hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.
Bagi Daerah Tutong pula, majlis telah diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong dan hadir selaku Tetamu Kehormat di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Manakala di Daerah Temburong, majlis diadakan di Masjid Utama Muhammad Salleh, Pekan Bangar dan hadir selaku Tetamu Kehormat di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Daerah dan AhliAhli Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80 Bagi Tahun 2026, Penghulu-Penghulu Mukim, Ketua-Ketua Kampung, Pemangku-Pemangku Penghulu Mukim, Pemangku-Pemangku Ketua-Ketua Kampung, ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung serta Pegawai-Pegawai dan Kakitangan Jabatan-Jabatan Daerah, Pegawai-Pegawai Hal Ehwal Masjid, ahli-ahli Takmir Masjid dan anak-anak buah kampung.
Majlis dimulakan dengan Bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan seterusnya pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran bermula dari Juz Pertama oleh peserta-peserta yang terdiri daripada ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, Penuntut-Penuntut Sekolah dan Institusi-Institusi Pengajian Tinggi di keempat-empat daerah mengikut kategori dewasa lelaki, dewasa wanita, belia dan beliawanis (berumur 13 tahun hingga 20 tahun) yang terpilih dan mewakili mukim dan kampung termasuk penuntut-penuntut Institut Tahfiz AlQuran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sekolah Arab dan Skim Tilawah AlQuran remaja dan kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berumur 12 tahun ke bawah yang mewakili Sekolah-Sekolah Arab, Sekolah-Sekolah Ugama dan Skim Khatam Al-Quran di bawah umur 10 tahun serta penuntut-penuntut sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dan Institusi-Institusi Pengajian Tinggi.



